21 Mei 2012, PUTRAJAYA ; Sempena sambutan Hari Belia Negara pada 23
hingga 27 Mei ini, para pengunjung khususnya golongan belia berpeluang
untuk melihat personaliti terkenal tanah air yang menjadi pujaan mereka
dengan lebih dekat lagi.
Malah bukan itu sahaja, mereka juga berpeluang untuk bersantai dan
beramah mesra dengan idola mereka di khemah Celebrity Planet, yang
menjadi stesen pengumpulan (gathering station) kesemua artis dan
penghibur yang turut sama menjayakan sambutan Hari Belia Negara 2012 di
Putrajaya ini.
Bertempat di khemah Celebrity Planet, yang dihias penuh gaya glamor
selebriti, khemah marquee seluas 200 kaki persegi itu, akan memuatkan
ruang untuk mengadakan sesi bertemu peminat, gerai-gerai artis yang
ingin memperkenalkan produk mereka di samping pentas untuk artis
mengadakan persembahan mereka untuk menghiburkan para pengunjung.
"Kira-kira sepuluh booth akan dibuka di bawah Celebrity Planet nanti.
Turut sama adalah booth penaja seperti Celcom, RHB, Agro Bank, Naza,
Genting dan TM. Ini adalah aktiviti terbesar yang mengumpulkan ramai
artis dan personaliti terkenal tanahair untuk memberi peluang kepada
para pengunjung terutama anak-anak muda untuk bersantai dan mendekati
idola pujaan mereka dengan lebih dekat lagi.
"Kita mensasarkan jumlah pengunjung yang ramai. Ruang khemah yang
besar ini juga dapat memberikan keselesaan kepada artis dan juga peminat
untuk beramah mesra serta aktiviti lain sepeti mengambil gambar bersama
artis dan pertunjukkan pentas," kata En. Roslan Hj Salikon, Pengarah
Urusan Stadium First Sdn Bhd.
Bersempena dengan penyertaan penganjur pada sambutan Hari Belia
Negara 2012 ini, satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani hari
ini di antara Stadium First Sdn Bhd dan Majlis Belia Malaysia dalam
majlis yang diadakan di Kementerian Belia dan Sukan, di Putrajaya.
Stadium First Sdn Bhd diwakili oleh En. Asri Idris manakala Majlis
Belia Malaysia pula diwakili oleh En. Khairul Anuar Mansor. Majlis hari
ini turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery
Cheek, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Mohid Mohamed
dan Presiden Majlis Belia Malaysia Mohamed Maliki Mohamed Rapiee.
Himpunan lima hari sempena sambutan Hari Belia Negara 2012 ini akan
melibatkan kawasan seluas 6 kilometer sekitar kawasan Putrajaya, 1000
orang artis dan penghibur, 22 buah pentas dan sasaran penyertaan seramai
dua juta belia.
Pada tahun ini lebih 500 program dan aktiviti diadakan daripada 38 segmen.
No comments:
Post a Comment