Aug 7, 2012

TCR 2012 DIJANGKA TARIK 1,000 PEMINAT SUKAN BERBASIKAL




7 OGOS 2012, Kuala Terengganu - Seramai 1,000 peserta dijangka akan menyertai  Terengganu Century Ride 2012 (TCR) yang diadakan buat julung kalinya anjuran Pedal Exlorer pada 16 September 2012, bersempena dengan Hari Malaysia dan Tahun Melawat Terengganu 2013.

Acara berbasikal yang dianjurkan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu dan Persatuan Lumba Basikal Terengganu akan membabitkan laluan sejauh 160 kilometer dalam masa lapan jam bermula dan tamat di Dataran Shah Bandar Kuala Terengganu.

"Sehingga kini seramai 500 peserta telah mengesahkan penyertaan terdiri daripada individu, pasukan dan kelab berbasikal dari Singapura dan Malaysia. Kami yakin akan dapat menarik lebih ramai pelumba dan peminat sukan berbasikal ini sebelum tarikh tutup.  "Pelumba-pelumba basikal Terengganu Cycling Team (TSG)  dijangka akan turut menyertai kayuhan kali ini," kata Zulkarnain Shah, Pengarah Acara Terengganu Century Ride 2012.

Selaras dengan Tahun Melawat Terengganu 2013, para peserta TCR 2012 akan menikmati keindahan dan keunikan khazanah negeri Terengganu di beberapa laluan bermula dari Dataran Shah Bandar menuju ke Batu Rakit, Kampung Batu 6, Jalan Sungai Tong, laluan ke Tasik Kenyir melalui Kampung Nenas, Kuala Ping, Kuala Berang, Ajil, Kampung Machang, Kampung Pulau Kerengga, Marang, Kampung Rusila, Pantai Batu Burok sebelum tamat di Dataran Shah Bandar.

Perlumbaan itu akan dibahagikan kepada empat kategori lelaki terbuka 18 tahun ke atas, lelaki veteran 40 hingga 49 tahun, lelaki 50 tahun ke atas dan terbuka wanita 18 tahun ke atas. Setiap pelumba yang berjaya menamatkan kayuhan dalam tempoh yang ditetapkan akan mendapat sijil penyertaan dan pingat.

"Selain itu, sepuluh perserta terawal yang tiba di garisan penamat akan menerima hadiah sebuah trofi," katanya. 

Setiap peserta dikenakan bayaran RM100 dan tarikh tutup adalah pada 30 Ogos ini. Orang ramai yang berminat menyertai acara ini boleh mendapatkan maklumat di laman web www.centuryride.blogspot.com.

Pelancaran Terengganu Century Ride 2012 yang berlangsung hari ini disempurnakan oleh YB Dato’ Rahin bin Dato’ Mohd Said, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan  Kesenian dan Warisan Terengganu.

"Kami berharap semua pelumba basikal seluruh negara dan negara jiran akan menyertai dan menghangatkan lagi cabaran dalam acara TCR ini. Selain itu, bawalah ahli keluarga dan rakan-rakan untuk sama-sama memeriahkan Karnival TCR sambil menikmati keindahan negeri Terengganu yang kaya dengan pantai dan keindahan alam semula jadi,"   kata YB Dato’ Rahin.

Beliau turut berterima kasih kepada penaja-penaja yang sudi tampil memberi sumbangan dan sokongan seperti Hotel Permai Kuala Terengganu, Ciclista Sdn Bhd, Roda Pantas, Power Bar, Sea Sucker, Ideal Polorized (Amy Ideal Enterprise).

Selain daripada perlumbaan sejauh 160 kilometer itu, Dataran Shah Bandar akan dimeriahkan lagi dengan acara Karnival TCR yang akan bermula pada 12hb  hingga 16hb  September. Antara acara menarik yang akan dipersembahkan termasuk demonstrasi basikal BMX dan MTBX Trail serta pertandingan Fixie Bunny Hop dan Longest Skid selain pameran dan persembahan dari artis tempatan. Watak animasi terkenal BOBOIBOY turut akan memeriahkan karnival itu selain Merdeka Fun Ride kayuhan santai sejauh 55km yang akan diadakan pada 15 September 2012.