Nov 22, 2010

Malaysia tuan rumah ACC 2012!

MALAYSIA meraih ruang kesempatan paling berbisa untuk menghantar kontingen besar pelumba trek dan lebuh raya ke Sukan Olimpik 2012 di London, Britain apabila menang bidaan menjadi tuan rumah Kejohanan Lumba Basikal Asia 2012 (ACC 2012).

Malaysia menewaskan India 6-2 menerusi sistem kiraan undi secara sulit di kalangan lapan negara yang mempunyai hak mengundi di kalangan ahli Kongres Persatuan Berbasikal Asia (ACC) dalam mesyuarat Kongres di Guangzhou, China semalam.

Naib Presiden ACC, Abu Samah Abd Wahab berkata Kejohanan ACC 2012 dijangka diadakan di Kuala Lumpur dan Melaka bakal menjadi medan terbaik untuk pelumba Malaysia mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik 2012 dengan penuh selesa kerana berlumba di halaman sendiri.

Bagaimanapun, kita hampir terlepas peluang mendapat hak penganjuran ACC 2012 selepas Kongres ACC semalam tampak lebih cenderung memilih New Delhi sebagai tuan rumah kejohanan tersebut kerana negara itu belum pernah diberikan status penganjur kejohanan berbasikal terbesar di benua Asia.:

Malah, New Delhi juga menjadikan alasan Malaysia pernah menjadi tuan rumah ACC 2006 sebagai faktor untuk meyakinkan Kongres ACC supaya menganugerahkan hak penganjuran kepada India.

Beliau yang juga Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) berkata Kongres ACC juga sangat terpikat dengan tawaran bidaan New Delhi khususnya pakej hotel penginapan bertaraf lima bintang dan velodrom yang dikatakan antara terbaik di dunia ketika ini.

“Bagaimanapun, ada antara wakil negara tertentu di dalam Kongres ACC lebih mempercayai kebolehan dan reputasi Malaysia sebagai penganjur kejohanan bertaraf dunia. Jadi mereka mencadangkan supaya diaplikasikan sistem undian secara rahsia bagi memilih tuan rumah ACC 2012.

“Akhirnya Malaysia menang dengan kelebihan enam undi. Jelas ramai yang mempercayai kebolehan kita sebagai penganjur kejohanan bertaraf dunia,” katanya ketika dihubungi di Guangzhou, China semalam.

Abu Samah menegaskan ACC 2012 sangat penting kerana kita ada hak menganjurkan jadual perlumbaan mengikut cita rasa dan peratusan kemenangan di kalangan pelumba negara sebagaimana yang berlaku di Sukan Asia 2010 di Guangzhou.

“Jadikanlah insiden di Guangzhou sebagai satu pengajaran. Lihat sahaja bagaimana China memanipulasi jadual hinggakan Malaysia gagal dalam acara 200 meter pecut individu dan pecut berpasukan.

“Mereka tahu kita boleh menang sekurang-kurangnya dua emas atau 1 emas, 2 perak. Jadi strategi mereka adalah menghidangkan satu jadual padat sehinggakan Mohd Azizulhasni (Awang) terpaksa mengorbankan dua acara iaitu 200 meter pecut individu dan pecut berpasukan semata-mata mahu menumpukan kepada keirin.

“Nasib baik perjudian Mohd Azizulhasni dan Josiah berbaloi. Akhirnya kita menang 1 emas dan 1 perak,” katanya.

- http://www.sinarharian.com.my/com/content/story8435923.asp

No comments:

Post a Comment