Mar 14, 2011

LARIAN 1MALAYSIA BUKTI KERAJAAN KOMITED SEMARAKKAN PERPADUAN DI KALANGAN MASYARAKAT




14 Mac 2011, Pekan, Pahang - Bagi menyemarakkan lagi kempen gagasan 1 Malaysia kerajaan akan memperbanyakkan lagi aktiviti yang melibatkan pelbagai kaum seperti kebudayaan, permainan dan sukan untuk dilaksanakan di setiap peringkat masyarakat.

Selain itu, pemimpin-pemimpin serta agensi kerajaan perlu memainkan peranan turun padang untuk mendekatkan diri mereka dengan rakyat di peringkat akar umbi tanpa mengira status pendidikan, taraf hidup atau pun perbezaan warna kulit dan bangsa.

Konsep yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ini merupakan konsep unik yang perlu diterima oleh semua pihak di negara sebagai lambang komitmen dan usaha oleh rakyat demi mencapai yang terbaik untuk negara.

Sehubungan itu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu, Pekan, Pahang akan menganjurkan acara Larian 1Malaysia sejauh 5 kilometer yang akan berlangsung pada 27 hingga 29 Mei depan, bermula di Pekan, Pahang.

Acara yang dinaungi oleh Perdana Menteri sendiri, akan dijalankan secara larian berganti-ganti menggunakan Jalur Gemilang sebagai baton yang juga simbolik kepada Rukun Negara.

Lebih 2,000 peserta daripada pelbagai latar belakang terdiri daripada pserta-peserta yang mewakili DUN, organisasi jabatan kerajaan dan swasta, pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negeri Pahang. Konsep larian ini ialah di mana setiap kumpulan seramai 20 orang akan berlari 1kilometer sebelum menyerahkan baton Jalur Gemilang kepada kumpulan seterusnya, bermula dari bebar sehinggalah ke Bandar Pekan. Jarak 1km ini ditetapkan bagi membolehkan semua peserta menamatkan larian di samping mewujudkan suasana harmoni dan ceria di kalangan peserta.

Menurut ahli Dewan Undangan Negeri Peramu selaku penganjur, Ibrahim Awang Ismail, konsep larian berganti-ganti ini dipilih adalah sebagai satu simbolik kepada perpaduan dan kerjasama. Katanya, acara ini adalah satu langkah yang praktikal untuk menyemai perpaduan melalui aktiviti yang menyeronokkan dan dapat dirasai serta dihayati oleh semua peserta. “Melalui aktiviti sebegini, kita dapat merealisasikan konsep Gagasan 1Malaysia kepada masyarakat, selain dapat menyatupadukan komuniti Parlimen Pekan untuk terus bersama-sama dengan kerajaan. “Kita juga mahu mewujudkan perasaan harmoni di kalangan rakyat dan pemimpin dan menggalakkan gaya hidup sihat melalui kegiatan riadah dan sukan,” katanya. Selain acara larian 1Malaysia, pelbagai program telah disusun bagi masyarakat di Bandar Pekan, untuk sama-sama memeriahkan acara terbabit di samping merapatkan hubungan sesama mereka.

Antara program-program yang dirancangkan termasuk persembahan Tatoo oleh Pasukan Di-Raja Malaysia yang akan diadakan di Padang Majlis Daerah Pekan, diiringi oleh terjunan Payung Terjun untuk upacara kemuncak sambutan.

Selain itu, orang ramai juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti yang telah disusun oleh pihak penganjur termasuk Explorace, Peraduan Foto dan pertandingan bola sepak antara media. Jabatan Pelajaran Negeri Pahang yang turut serta dalam program larian 1Malaysia ini turut membuka peluang kepada murid-murid peringkat sekolah untuk menyertai pertandingan Brass Band peringkat sekolah di seluruh negeri Pahang. Bagaimanapun, sekiranya penyertaan dari sekolah-sekolah tidak mendapat sambutan, pertandingan ini kemungkinan akan dibuka kepada peringkat kebangsaan dan jemputan.

Tidak ketinggalan juga, persembahan tradisional akan turut dihidangkan kepada pengunjung yang dijangka datang dari negeri-negeri berjiran seperti Terengganu dan Kelantan untuk sama-sama memeriahkan program sempena larian 1Malaysia ini.

Selain persembahan pentas dan acara sukan serta riadah, para pengunjung juga boleh melawat pameran-pameran pendidikan ‘Jom Masuk U’ yang akan diadakan di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah Pekan selama tiga hari. Antara pengisian program ini adalah pameran pendidikan, informasikemasukkan, kuiz, cabutan bertuah, pemberian cenderahati, seminar peluang pengajian tinggi negara, khidmat bimbingan dan kaunseling pengajian tinggi, agensi kerajaan, tajaan bank dan lain-lain. Di samping itu, turut diadakan ialah pameran kraftangan industri kecil dan sederhana (IKS) yang bertujuan mengetengahkan produk-produk tradisional, kraftangan dan IKS. Dalam pada masa yang sama untuk memberi peluang kepada pengusaha memasarkan produk-produk mereka kepada pihak berpotensi sepanjang program tiga hari ini berlangsung.

ends

No comments:

Post a Comment