Feb 8, 2012

TSG SANDAR HARAPAN BESAR DI BAHU HARIFF



KUALA TERENGGANU - DENGAN membariskan empat pelumba muda kelahiran tempatan dan dua pelumba berpengalaman dari Jepun dan Korea Selatan, Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) meletak sasaran berani untuk meraih sekurang-kurangnya kemenangan pada satu peringkat pada edisi ke-17 Le Tour de Langkawi (LTdL), 24 Februari hingga 4 Mac ini.

Dalam majlis pelancaran TSG yang berlangsung di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu semalam yang dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, beliau meletakkan sasaran yang tinggi buat pasukan Kalahari negeri Terengganu itu.

“Saya mempunyai wawasan yang tinggi untuk meletakkan TSG dinaikkan kepada sebuah pasukan yang bertaraf lebih tinggi daripada sebuah pasukan bertaraf benua ketika ini kepada pasukan profesional benua dan akhirnya kepada status ProTour. Saya mahu melihat TSG menjadi sebuah kuasa berbasikal yang besar. Kami benar-benar bekerja keras untuk mencapai wawasan ini terutama daripada segi penajaan, ia bukan mudah tetapi itulah sasaran yang akan kami usahakan,” katanya.

Bagi LTdL tahun ini, Datuk Seri Ahmad Said turut memberi tekanan supaya TSG memberi tumpuan untuk cuba menjuarai antara peringkat terakhir di Terengganu.

“Setiap daerah di negeri ini bakal meletakkan barisan penyokong yang ramai di sepanjang laluan untuk memberi sorakan kepada pelumba kami, ia pasti memberi rangsangan motivasi yang tinggi untuk mereka berusaha lebih keras untuk mencari kemenangan.”

Pada majlis pelancaran pasukan TSG itu, Datuk Seri Ahmad Said turut merasmikan Bulan Berbasikal Terengganu yang berlangsung di sepanjang Februari hingga LTdL 2012 tamat.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TSG, Mohd Sophian Abu Bakar berkata, biarpun kehilangan pakar pecut Anuar Manan yang pernah memberikan kemenangan sensasi satu peringkat serta gelaran Raja Pecut LTdL 2010, TSG mempunyai pengganti, Mohd Hariff Salleh yang tidak kurang hebatnya dan dianggap mampu membuat kejutan pada henjutan beramai-ramai ke garisan penamat.

Hariff, 24, adalah pelumba yang memegang watak pembantu kepada Anuar Manan sebelum ini tetapi selepas pemergian Anuar ke pasukan baru Champion System, Hariff yang pernah sekali berdiri di podium ketiga pada Peringkat 1 LTdL 2011, mendapat peluang terbaik untuk membuktikan kemampuannya.

Pemenang tiga pingat emas di Sukan SEA Indonesia 2011 dan pelumba terbaik siri Sirkit Grand Prix Kebangsaan ini akan dibantu abangnya, Mohd Zamri Salleh dan pelumba Korea, Jang Chan-jae untuk membawanya ke kelompok depan sebelum dia beradu kekuatan dan cuba merealisasikan impian besar pengurusan TSG.

Mohd Sophian menjadi harapan besar pasukan itu untuk melihat Hariff memenangi sekurang-kurangnya satu peringkat pada tiga peringkat terakhir yang berakhir di negeri Terengganu.

"Itu sasaran kami pada LTdL kali ini, selain memperbaiki kedudukan keseluruhan berpasukan tahun lalu di tempat kelapan keseluruhan dan kelima Asia pada edisi kali ini," kata Mohd Sophian.

Selain Mohd Hariff dan Mohd Zamri yang muncul juara Sirkit GP Kebangsaan 2011, dua lagi pelumba kelahiran Terengganu yang memperkuatkan cabaran TSG adalah pelumba terbaik kebangsaan di LTdL 2011 yang menduduki tangga ke-37, Mohd Shahrul Mat Amin dan pelumba terbaik pasukan itu di tangga ke-31 dan muncul juara kebangsaan 2011, Mohd Saufi Mat Senan.

Selain Chan-jae yang akan diberi peranan pembantu di laluan landai dan mendaki, TSG masih mengekalkan pelumba veteran berpengalaman Jepun, Shinichi Fukushima.

Namun menyedari tugasan itu tetap sukar, lebih-lebih lagi dengan acara Ujian Masa Individu pada Peringkat 1 di Putrajaya dan pendakian ke Genting Highlands di Peringkat 6, TSG membuat persiapan lebih rapi untuk menghadapi LTdL 2012 kali ini dengan mengadakan kem latihan pusat di Chiang Rai, Thailand dari 3 Januari hingga 6 Februari lalu.

Malah pengurusan turut membawa masuk jurulatih baru dari Perancis, Sebastian Duclos untuk membimbing sejak awal Januari lalu dan Duclos juga akan mencaturkan strategi pasukan itu kali ini.

Sejak pulang ke Terengganu dua hari lalu, TSG akan menyambung latihan dengan tumpuan lebih diberikan kepada tiga laluan terakhir LTdL 2012 iaitu di Chukai, Kemasik, Tasik Kenyir dan Kuala Terengganu bagi membiasakan diri dan mengenali selok belok laluan.

"Selepas sebulan berada di Chiang Rai yang mempunyai laluan pendakian yang lebih sukar, saya berpendapat TSG akan tampil dengan lebih bersedia pada edisi LTdL kali ini. Yang penting, kami dapat mempersiapkan pasukan dengan lebih baik dan pelumba juga begitu fokus untuk bersaing," kata Mohd Sophian.
"Kami gembira melihat barisan pelumba TSG yang cukup hebat untuk bersaing tahun ini, mereka merupakan antara pasukan continental Asia yang akan melakukan kejutan dan tidak harus dipandang rendah." kata ketua pegawai operasi LTdL2012 Emir Abdul Jalal. “Tentunya peminat-peminat pasukan TSG mengharapkan kemenagan di salah satu peringkat pada edisi ini.”
LTdL 2012 dianjurkan Majlis Sukan Negara sebagai kesinambungan penganjuran oleh Kementerian Belia dan SUkan pada 2010 dan 2011, dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF). Jelajah ini kekal dengan status 2.HC (Hors Classe) dan diiktiraf serta diizinkan UCI dan UCI Asia Tour. LTdL 2012 dijangka membariskan 22 pasukan profesional.

Perlumbaan 10 hari itu akan bermula dengan acara Ujian Masa Individu sejauh 20.3 kilometer di Putrajaya; diikuti Peringkat 2 Putrajaya - Melaka (151.0km); Peringkat 3 Ayer Keroh - Parit Sulong (187.6km); Batu Pahat - Muar (169.4km); Ayer Keroh - Pandan Indah (190km); Proton Shah Alam - Genting Highlands (108km); Bentong - Kuantan (205.8km); Pekan - Chukai (100.8km); Kemasik - Kuala Terengganu (165.7km) dan Tasik Kenyir - Kuala Terengganu (114.8km).

SENARAI PELUMBA TSG :
MOHD HARIFF SALLEH (MAS), MOHD ZAMRI SALLEH (MAS), MOHD SHAHRUL MAT AMIN (MAS), SHINICHI FUKUSHIMA (JPN), JANG CHAN-JAE (KOR), MOHD SAUFI MAT SENAN (MAS)

-TAMAT -

No comments:

Post a Comment