Oct 22, 2010

Pesta Air Antarabangsa sempena 20 tahun pentadbiran Pas


KOTA BHARU (19 Okt 2010) – Sukan Pesta Air Antarabangsa Kelantan 2010 yang bakal berlangsung akhir Oktober ini diisytihar sebagai acara kemuncak perayaan 20 tahun pentadbiran kerajaan Pas di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pesta tiga hari itu bermula 28 hingga 30 Oktober di Dataran Sireh, Tesco Kota Bharu, dan dijangka menarik ramai pelancong ke negeri ini.

“Peserta kebanyakannya datang dari dalam dan luar negara seperti Brunei, Thailand dan New Zealand.

"Mereka akan membawa bersama krew serta penyokong dalam acara itu nanti,” katanya.

Menurutnya, tiga kategori acara air terbesar akan dilangsungkan di pesta air berkenaan yang melibatkan hadiah lumayan mencecah RM50,000 bagi johan, naib johan dan tempat ketiga selain piala kejohanan.

“Penglibatan paling ramai dalam acara Perahu Panjang antara 10 jajahan, jabatan dan agensi swasta, antarabangsa dan kategori VIP (wakil rakyat) yang melibatkan 18 peserta sepasukan.

“Acara Jet Sky Antarabangsa melibatkan 14 pasukan dalam dan luar negara berserta 10 penyertaan dalam acara Power Boat,” katanya dalam Sidang Media Sukan Pesta Air Antarabangsa Kelantan 2010, tengah hari semalam.

Beliau berkata, bagi menambah kemeriahan, penganjur mengadakan Sukan Rakyat antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Peringkat saringan dijadualkan pada 28 Oktober dan akhir pada 30 bulan sama.” katanya.

Menurutnya, acara penutupan akan diserikan dengan kehadiran Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Sultan Ismail Petra. 


http://www.sinarharian.com.my/kelantan/content/story8311954.asp

No comments:

Post a Comment