Dec 13, 2011

SUWAIBAH TAWAN GURUN SAHARA MAC DEPAN





13 December 2011, KUALA LUMPUR: Hasrat untuk mencipta nama selaku wanita pertama menawan Gurun Sahara dengan berlari sejauh 1,111 kilometer merentasinya akhirnya akan dapat direalisasikan oleh bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Suwaibah Muhammad Nasir, 38, tidak lama lagi.

Misi yang dinamakan 'Sailing the Sand of Sahara' dijangka bermula pada 21 Mac hingga 24 April 2012, iaitu yang akan memakan masa selama 35 hari bermula dari Empangan Mohamed Sedky Sleman, di Aswan dan menamatkan larian di laluan Port Said Rafaj, Mesir. Sebelum ini, Suwaibah telah menetapkan tarikh 11.11.11 untuk melunaskan hasratnya mencipta nama sebagai wanita pertama di dunia menawan Gurun Sahara namun atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, hajat itu tertangguh dan akan dilaksanakan pada tahun hadapan.

Bersempena pelancaran Dinar Emas Larian Sahara 2012, Koperasi Anggota Pranita Angkatan Tentera Malaysia Berhad (COPRANITA) selaku penganjur acara itu akan melancarkan dinar emas yang mengandungi tulisan 'Larian Sahara oleh Suwaibah' dan akan disempurnakan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Turut hadir Pengerusi larian itu, Sheikh Ahmad Dasuki Sheikh Mohamad.

Bukan calang-calang wanita, Suwaibah, 38, anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan pernah melakar sejarah sebagai wanita pertama yang berjaya mendaki Menara Kuala Lumpur pada tahun 1998, malah dia merupakan pemegang rekod sebagai wanita terpantas mendaki Batu Caves pada tahun 2000 hingga 2002 yang belum digugat sesiapa sehingga ke hari ini. Bukan itu sahaja, pada tahun 2004, dia membuat larian amal berlari sejauh 2,004 kilometer (km) selama 47 hari mengelilingi Semenanjung Malaysia dan berjaya mengumpul RM2 juta untuk mengisi tabung Majlis Kanser Nasional.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu pernah mewakili negara ke pertandingan mendaki Bangunan Empire States, New York dan meraih tempat ke-12 selain pernah berlari di Itali, Indonesia dan Singapura.

Anak kedua daripada lapan beradik kini sedang sibuk mempersiapkan diri bagi merealisasikan hasratnya menawan Gurun Sahara dengan membuat larian solo sejauh 1,111 kilometer (km) merentas gurun itu dengan bantuan seorang jurulatih Mejar Azan selain mendapat bantuan kemudahan latihan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) serta pemantauan dari segi kesihatan dan kecergasan daripada Institut Sukan Negara (ISN).

Larian yang dijangka mengambil masa 35 hari itu akan bermula dari Aswan ke Luxor sejauh 179 kilometer, Luxor-Sohag- Assyut (221 kilometer), Assyut-Al-Minya-Giza- Kaherah (318 kilometer) dan Kaherah ke Suez sejauh 125 kilometer. Seterusnya laluan mencabar menanti Suwaibah dari Suez ke Port Said sejauh 146 kilometer sebelum menamatkan misinya di laluan Port Said Rafaj sejauh 122 kilometer.

- TAMAT –

No comments:

Post a Comment