May 6, 2011

PROGRAM KARNIVAL IKTIRAF 2011 MEMERIAHKAN DAERAH CHINI


YB Dato' Abu Bakar bin Hj Harun (ADUN Kawasan Chini) merasmikan pembukaan karnival IKTIRAF di Chini

Jumaat, 6hb Mei 2011, KUANTAN - Karnival Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) 2011 kembali menjelajah di seluruh negara melalui penganjurannya di 11 lokasi yg mewakili 11 wilayah Felda dari Mei hingga Disember depan.

Bertemakan 'Mendaya Belia Melestari Perjuangan’, Karnival Iktiraf edisi ke tiga ini diyakini dapat memenuhi serta menyahut aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk terus memperkasakan Felda.

Karnival Iktiraf 2011 dimulakan di peringkat Felda Wilayah Kuantan pada 6 – 8 Mei bertempat di Padang Perbandaran DARA, Chini.

“Ia adalah satu platform untuk mengiktiraf serta mengenali dengan lebih dekat lagi pelbagai kejayaan FELDA sepanjang tahun,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Chini Dato' Abu Bakar Harun ketika merasmikan Program Karnival Iktiraf 2011 Peringkat Felda Wilayah Kuantan di sini, hari ini.

Katanya, untuk memastikan kejayaan pelaksanaannya, adalah penting bagi karnival ini mendapatkan sokongan yang padu daripada generasi kedua dan ketiga Felda.

“Pelapis kita hari ini perlu mencerminkan kewibawaan yang begitu hebat dan kita masyarakat yang telah berusia ini berperanan sebagai pendokong, penyokong untuk memberikan laluan kepada generasi muda khususnya generasi felda itu sendiri”.

“Oleh itu, tanggungjawabnya ia terletak kepada kita, bagaimana kita nak mengolah kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang”, katanya.

Karnival Iktiraf 2011, menyediakan pelbagai aktiviti menarik yang telah dikhususkan bersesuaian dengan pelbagai kumpulan usia warga Felda, daya tarikan ini pastinya mampu menarik penyertaan maksimum mereka serta lantas menyediakan peluang terbaik untuk berkongsi ilmu pengetahuan, peluang pekerjaan dan pengiklanan,” katanya.

Tidak hanya berlandaskan hiburan semata-mata, Karnival Iktiraf 2011 menyediakan pelbagai agenda.

Antara program-program yang telah disenaraikan adalah berbentuk motivasi, kerohanian (soal-soal keagamaan), perkongsian idea-idea (perbincangan dan sesi dialog), khidmat kemasyarakatan dalam sukan, seni dan budaya, hiburan dan program eksklusif kebajikan iaitu ‘Jejak Iktiraf’ yang memberi penekanan kepada kegiatan amal seperti tabung derma, pembangunan masyarakat sekeliling dan banyak lagi.

Sementara bagi menarik golongan muda pertandingan autoshow, explore race, battle of the bands dan sebagainya akan juga diadakan.

Kesemua program dan aktiviti untuk karnival ini diharap akan dapat membantu memupuk nilai-nilai murni di antara generasi muda Felda, demi meningkatkan ikatan komuniti yang lebih baik, motivasi dan menyebarkan berita dan informasi kepada penduduk Felda agar mereka tidak jauh ketinggalan dalam pembangunan semasa.

Majlis perasmian penutup Karnival Iktiraf 2011 Peringkat Felda Wilayah Kuantan akan disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Adnan Yaakob Ahad ini.

Karnival Iktiraf 2011 dianjurkan dengan kerjasama Seranta (FELDA), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Felda dan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM).

Karnival Iktiraf seterusnya dijangka akan diadakan di peringkat Wilayah Raja Alias, dan diikuti Trolak, Gua Musang, Jengka, Johor Bahru, Sahabat, Mempaga, Segamat, Terengganu, dan Alor Setar.

Sementara, Karnival Iktiraf peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada Disember depan merupakan kemuncak kepada keseluruhan program Karnival Iktiraf peringkat wilayah dan akan menjadi perhimpunan terbesar warga Felda dari seluruh negara.

-END

No comments:

Post a Comment