Dec 18, 2010
KL HERITAGE HUNT 2010 KETENGAHKAN 16 LOKASI MENARIK DI KUALA LUMPUR
18 Disember 2010, Kuala Lumpur - KL Heritage Hunt 2010 adalah acara anjuran Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya sebagai salah satu daya tarikan untuk mengenali Kuala Lumpur secara dekat khususnya tapak dan lokasi warisan di sekitar bandaraya metropolitan ini.
Sebanyak 16 lokasi telah dikenalpasti dengan nilai-nilai warisannya tersendiri. Lokasi terbabit melibatkan kawasan Masjid Jamek, Mahkamah Sesyen dan Majistret, Panggung Bandaraya, Mahkamah Tinggi, Bangunan Sultan Abdul Samad, Mahkamah Perusahaan, Pejabat Pos Lama dan Dataran Merdeka.
Selain itu, Muzium Tekstil. Air Terjun Dataran Merdeka, Muzium Sejarah Nasional, Perpustakaan Kuala Lumpur, Kelab Royal Selangor, Cathedral of St Mary dan Masjid India turut tersenarai sebagai lokasi menarik di Kuala Lumpur.
Melalui acara tahunan ini, orang ramai dan pelancong akan didedahkan kepada destinasi pelancongan dan dapat memahami budaya masyarakat tempatan di negara ini yang menetap di sekitar Kuala Lumpur. Selain itu, penyertaan masyarakat pelbagai bangsa dan agama juga secara tidak langsung melambangkan perpaduan rakyat Malaysia sejajar dengan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak. Ini juga dapat memberi gambaran positif kepada pelancong yang bertandang ke Kuala Lumpur.
Acara KL Heritage 2010 ini terbuka kepada 50 pasangan yang terdiri daripada lelaki dan wanita seperti pasangan ayah dan anak, kakak dan abang, suami dan isteri dan sebagainya berumur 16 tahun ke atas.
Mereka akan dibahagikan kepada dua atau tiga kumpulan dengan laluan berbeza bagi mengelakkan kesesakan. Peserta pula perlu sampai di tempat yang ditetapkan dan melaksanakan tugasan yang diberi sebelum dibenarkan bergerak ke lokasi seterusnya.
Para peserta hanya dibenarkan menggunakan perkhidmatan awam seperti Star LRT, Monorail dan Bas RapidKL sebagai pengangkutan mereka dari satu lokasi ke lokasi yang seterusnya. Peserta yang berjaya melaksanakan dengan sempurna segala arahan dan pertama kembali ke lokasi permulaan iaitu di MATIC, Jalan Ampang adalah pemenang.
Pelepasan acara KL Heritage Hunt 2010 akan dilakukan oleh Puan Noor Hidayah Zainal Abidin, Penolong Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia pada pukul 10 pagi di MATIC, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Majlis penyampaian hadiah pula dilakukan oleh Puan Yuhaini Yusoff, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur / Putrajaya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment